24 Julai – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menerima seramai 17 pelajar dari UIN Sunan Gunung Djati Bandung, Indonesia bagi menjalani program mobiliti selama seminggu bermula 17 Julai hingga 22 Julai 2024.
Program Mobiliti ini memberi pendedahan kepada pelajar dari UIN SGD Bandung berpeluang mengikuti kelas yang dikendalikan oleh pakar USIM dalam bidang Al-Quran dan Multimedia juga penggunaan animasi dalam kempen dakwah digital. Selain itu, peserta juga berpeluang melihat dan menggunakan fasiliti kampus USIM dan juga kepada menjalani pertukaran budaya.
Menurut Ketua Delegasi dari UIN SGD Bandung ini iaitu Dr H Munir berkata, program mobiliti antarabangsa ini adalah yang pertama kali untuk pelajar mereka merasai program pertukaran antarabangsa yang lebih bersistematik.
“Saya dan rakan-rakan pertama kali menjejakkan ke Malaysia dan merasa bertuah dapat mengikuti program di USIM ini bertemu dengan rakan baharu iaitu Buddies USIM yang sangat rapat dan baik hati bersama kami sepanjang kami berada di sini,” Rifky, salah seorang peserta program.
Antara pengisian program mobiliti kali ini adalah kombinasi program akademik dan bukan akademik seperti program khidmat masyarakat dan lawatan luar ke Putrajaya dan Kuala Lumpur.
Bagi USIM ‘Alamiyyah, program ini dapat meningkatkan jaringan di antara USIM dan UIN SGD Bandung untuk kolaborasi pada masa hadapan dan seterusnya mengeratkan hubungan kerjasama di antara USIM dan juga seluruh institusi di Indonesia bagi area kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan dan yang lainnya.
Program Mobiliti ini merupakan program yang pertama dijalankan setelah USIM menandatangani MoU bersama UIN SGD Bandung pada 25 Januari 2024 yang lalu.