USIM, 24 March – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima kehadiran seramai 3 pensyarah dan 23 pelajar yang terdiri daripada pelbagai program pengajian dari Universitas Darussalam, Gontor, Indonesia untuk menjalankan kegiatan program Kuliah Kerja Nyata (KKN) bermula 8 Mac hingga 24 Mac 2024.

Menurut Dr Asif Trisnani, M.Ag, Timbalan Rektor 2 Bidang Administrasi, Pembangunan dan Kewangan, UNIDA berkata bahawa ini kali pertama UNIDA menjalankan kegiatan KKN International di Malaysia.

“Kami amat berbesar hati pihak USIM sudi menerima para pelajar dari UNIDA dan menyediakan program berbentuk komuniti servis (community engagement) di USIM. Anak-anak juga melaporkan bahawa mereka sangat berpuas hati dapat bersama dengan pelajar USIM dan juga komuniti sekitar di Nilai,” katanya.

Selain itu, Prof Dr Mohd Radhi Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) berkata bahawa program sebegini mungkin boleh diperkuatkan lagi dengan pengisian program agama seperti Turath sains dan juga integrasi ilmu Naqli dan Aqli.

“Ini kerana, USIM dan UNIDA mempunyai aliran atau niche pengajian yang sama dengan aspirasi memperjuangkan pengintegrasian antara ilmu Naqli dan Aqli dan juga integrasi Amal demi kebaikan umat Islam seluruh dunia,” katanya pada majlis pentutup program KKN di USIM.

Selain itu, beliau juga turut bercadang untuk mewujudkan program dual-degree di antara USIM dan UNIDA yang mana akan memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak. Beliau juga menyeru dan menggalakkan para pelajar UNIDA untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana di USIM.

Beliau juga mengharapkan agar mengaktifkan semula Konsortium i-Iqra’ bersama UNIDA dan juga universiti lain untuk memperkasakan pendidikan Islam di seluruh nusantara.

Untuk rekod, USIM dan UNIDA telah memperbaharui Memorandum Persefahaman (MoU) pada tahun lepas sehingga 15 November 2026.