20 Jun – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menerima kehadiran delegasi seramai 37 peserta dari Universitas Muhammadiyah Surakarta (UMS) Indonesia bagi menjayakan program International Mobility (Inbound) @ USIM bermula 20 Jun hingga 28 Jun 2024 yang berfokuskan kepada program akademik, khidmat masyarakat dan juga aktiviti pendidikan-pelancongan (Edutourism).

Menurut Ketua Delegasi dari UMS, Afief El Ashfahany berkata, ini kali pertama UMS membuat program antarabangsa dan sambutannya amat menggalakkan kerana pada mulanya UMS hanya menawarkan tempat sebanyak 20 pelajar namun atas minat dan keinginan pelajar untuk ke luar negara, penyertaan telah bertambah sehingga 37 peserta yang terdiri daripada 3 program utama di UMS iaitu Hukum Ekonomi Syariah, Pendidikan Agama Islam dan Hadis Tafsir.

“Kami merasa aman dan hangat sekali atas sambutan yang diberikan oleh USIM dan juga Persatuan Global Buddies yang sangat rapat dan akrab bersama kami. Kenangan sepanjang berada di Malaysia khususnya USIM pasti tidak akan dilupakan,” kata Zayn yang merupakan salah satu peserta dari UMS.

Pengisian program mobiliti kali ini turut diselitkan dengan aktiviti akademik seperti Guest Lecture oleh wakil pensyarah dari UMS yang menyampaikan syarahan berkaitan bidang pengajian masing-masing. Selain itu, para pelajar juga turut merasai pengalaman pembelajaran di USIM dengan mengikuti kelas pengajian bersama pensyarah USIM.

Bagi mengeratkan hubungan strategis ini, USIM dan UMS juga telah menandatangani Surat Pernyataan Niat (LoI) di Bilik Seminar, Perpustakaan Universiti sebagai simbolik kerjasama yang berpanjangan di antara USIM dan UMS pada masa akan datang.

Program Mobiliti Antarabangsa kali ini juga turut disertai oleh lima pelajar dari Persatuan USIM ‘Alamiyyah Global Buddies yang telah dilantik untuk membantu memudahkan urusan dan melancarkan pergerakan program. Mereka diketuai oleh Syahrul Adam Salleh Ibrahim (Tahun 4, FSU), Muhammad Dhiyaulhaq Fudhail (Tahun 2, FSU), Nur Syahirah Ramli (Tahun 3, FSU), Norshafiqah Muhammad (Tahun 3, FSU) dan Siti Hawa Syafari Ishak (Tahun 3, FSU).

Antara program dan aktiviti menarik yang berlangsung sepanjang program adalah Pertandingan Videografi Terbaik, Interactive Muamalat Games, International Public Speaking dan lawatan ke sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur. Semoga penganjuran Program Mobiliti Antarabangsa ini semakin memberi impak positif dan membuka lebih banyak ruang untuk terus menaikkan nama USIM di persada antarabangsa.