26 Mei – Pelajar Antabangsa dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Yassir Hassan Sayid Ahmed dari Arab Saudi telah berjaya meraih tempat ketiga sempena pertandingan Sayembara Puisi Dunia (SePENA) yang dianjurkan oleh Pusat Kebudayaan USIM yang berlangsung pada 24 hingga 26 Jun 2024.
Dalam pertandingan yang memartabatkan bahasa Melayu dan kemanusiaan itu, semua peserta yang bertanding perlu memilih karya puisi yang ingin dipentaskan berkaitan dengan isu terkini di Palestin dan disampaikan dalam bahasa Melayu.
Menurut Yassir, ini kali pertama beliau menyertai pertandingan sebegini dan komited untuk mempelajari bahasa Melayu selepas ini dengan bergaul bersama pelajar tempatan untuk meningkatkan kemahiran berbahasa Melayu.
“Walaupun saya gementar namun saya bersungguh-sungguh untuk menyertai pertandingan ini sebagai tanda solidariti kepada rakyat di Palestin,” katanya lagi.
Yassir berjaya mendapat tempat ketiga untuk pertandingan ini dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 500 dan sijil.
Program sebegini yang menghimpunkan peserta-peserta dari seluruh IPTA dan IPTS telah memberi ruang kepada pelajar tempatan dan antarabangsa untuk mengetengahkan bakat mereka dalam berpuisi sebagai salah satu program membudayakan citra rakyat Malaysia khususnya kepada pelajar Antarabangsa.