23 Jun – Lebih kurang 50 mahasiswa dari Universiti Sains Islam Malaysia dan Universitas Muhammadiyah Surakarta termasuk 5 pensyarah telah menjalankan kegiatan khidmat masyarakat di Madrasah Ibnu Mas’ud (MIM), Nilai yang beroperasi menyediakan pembelajaran agama dan mesra kepada warga emas.
Program ini memberi pendedahan kepada mahasiswa untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang apakah fungsi yang dijalankan dan perkhidmatan yang diberikan oleh MIM melalui taklimat yang diberikan oleh pihak MIM. Program khidmat masyarakat ini merupakan kerjasama kali pertama dalam kalangan mahasiswa UMS untuk berkhidmat kepada warga emas seperti membersihkan persekitaran, kolam dan juga surau.
Selain itu, mahasiswa juga berpeluang untuk bergotong royong aktiviti memasak menu bagi minum petang bersama kaum ibu yang merupakan penghuni tetap di MIM.
“Ini kali pertama kami menyediakan kuih popia yang mana kalau di Indonesia kami panggil sebagai lumpia. Rasanya lebih kurang sama dan mungkin kami akan cuba menu ini bila pulang ke Indonesia nanti,” kata Fadilla yang merupakan salah satu peserta bagi program khidmat masyarakat ini.
Program khidmat masyarakat bersama warga emas ini menjadi satu platform kepada mahasiswa untuk berbakti agar dapat mengenang kembali jasa ibu bapa dalam memberi layanan dan khidmat bakti sebagai anak di samping dapat menyuburkan rasa kasih sayang sesama ahli keluarga.
MIM merupakan sebuah madrasah yang kini mempunyai beberapa rangkaian di Segamat, Nilai dan Rembau (dalam perancangan) khusus kepada warga emas yang menawarkan konsep pembelajaran yang teratur, kelas agama yang diajar oleh mereka yang berkelayakan di samping pengurusan kepada warga emas yang mesra dan profesional.