9 Jun – Seramai dua orang pelajar dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah terpilih untuk menyertai UP HIRAYA Short-Term Exchange Program 2025 yang berlangsung dari 9 hingga 27 Jun 2025 bertempat di tiga institusi pendidikan tinggi di Filipina iaitu University of the Philippines, Batangas State University dan Central Bicol State University of Agriculture.
Program ini merupakan salah satu inisiatif pertukaran pelajar yang bertujuan memperluas perspektif pelajar terhadap kepelbagaian budaya, pendidikan komuniti, serta kelestarian alam sekitar dan pembangunan mampan di rantau Asia Tenggara.
Dua orang pelajar USIM yang terlibat dalam program ini ialah Nur Najla binti Ridzuan dari Fakulti Sains dan Teknologi serta Sharfa Yasmin binti Shahad dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang, yang turut merupakan ahli kepada persatuan USIM ‘Alamiyyah Global Buddies, sebuah badan pelajar di bawah USIM ‘Alamiyyah.
Program ini telah dimulakan dengan pengenalan kepada bahasa dan budaya masyarakat Filipina, termasuk sesi pembelajaran asas bahasa Tagalog, memperkenalkan diri dalam bahasa tersebut, serta aktiviti kebudayaan seperti penyediaan halo-halo, lawatan ke muzium dan tapak bersejarah seperti Rizal Park, Intramuros dan Quezon City.
Menurut Nur Najla binti Ridzuan, antara pengalaman yang paling memberi kesan sepanjang program ini ialah lawatan ke Batangas State University dan Central Bicol State University of Agriculture.
“Kami berpeluang untuk menyertai aktiviti berasaskan komuniti bersama komuniti Sama-Bajau, satu kumpulan masyarakat orang asal di Filipina. Di sini, kami membangunkan projek mini yang bertujuan memperkasakan komuniti tersebut melalui pembentangan dan rekaan prototaip,” katanya.
“Selain itu, kami juga terlibat dalam aktiviti konservasi alam sekitar seperti penanaman bakau di Pasacao, serta turut merasai pengalaman tradisional melalui tarian budaya Tinikling dan pembuatan sabun madu kelulut secara manual.”
Antara pengisian akademik lain termasuklah sesi pembelajaran tentang resilience, Sustainable Development Goals (SDGs), serta simulasi Sakunwari – iaitu permainan kad yang menguji keupayaan peserta membuat keputusan dalam situasi bencana sebagai seorang datuk bandar.
Program ini ditutup dengan majlis makan malam penutup yang gilang-gemilang di Manila, di mana semua peserta tampil dalam pakaian tradisional masing-masing sebagai simbol perpaduan dalam kepelbagaian.
Penglibatan pelajar ke program ini turut mendapat sokongan kewangan daripada Pusat Wakaf dan Zakat USIM serta Fakulti Sains dan Teknologi, dan telah membuka ruang untuk pelajar USIM mengaplikasikan ilmu dan pengalaman yang diperoleh dalam konteks tempatan dan antarabangsa.