4 Sept – Seramai 88 orang pelajar dan enam guru pengiring terlibat dari empat buah sekolah di Indonesia iaitu Madrasah Aliyah Negeri 2 Kota Malang, Madrasah Aliyah Negeri 2 Ponorogo, Madrasah Aliyah Negeri 1 Lamongan dan Pesantren Al-Muttaqin Tasik Malaya telah menyertai program Islamic Global School Network (IGSN) Jamboree 2023.

I-GSN 2023 merupakan program tahunan di USIM ‘Alamiyyah dan menjadi satu signature kepada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang berkonsep Edutourism sebagai satu kaedah memperkenalkan USIM secara khusus dan Malaysia secara amnya.

Program mobiliti ini bertujuan memberi pendedahan secara holistik merangkumi aspek akademik, kepimpinan, sukan, budaya, sahsiah dan rohani. Ia juga akan memberi peluang kepada pelajar merasai pengalaman kehidupan kampus secara ‘hands on’ dan juga menjadi platform mempromosikan kemasukan pelajar antarabangsa mengikuti pengajian Pra-Siswazah di USIM.

IGSN kali ini, memberi peluang kepada peserta untuk menyertai aktiviti yang menarik seperti Dinamika Kumpulan, Campus Tour, USIM Admission Briefing, Exploring Faculty (Learning Space) @ USIM dan Pertukaran Budaya pada Malam Kebudayaan. Selain itu, mereka juga turut didedahkan dengan keunikan seni bina, sejarah serta budaya dengan mengunjungi ke tempat-tempat menarik dan popular di sekitar Putrajaya, Seremban dan Kuala Lumpur seperti Nasyrul Quran, IOI Mall, Cruise Tasik Putrajaya, Masjid Sendayan, Muzium Negeri, Muzium Kesenian Islam, KLCC dan Pasar Seni.

Rata-rata peserta merasa kagum dan amat berpuas hati dengan pengisian yang disediakan sepanjang program ini berlangsung dan turut menyampaikan hasrat untuk menyertai dan menghantar penyertaan pelajar mereka pada sesi IGSN 2024.

IGSN Jamboree 2023 yang telah dijalankan pada 14 – 19 Ogos 2023 merupakan summer program kali ke-9 anjuran USIM ‘Alamiyyah dengan kerjasama USIM ‘Alamiyyah Global Buddies dan International Student Association (INSAN). Program tersebut dijalankan selama tujuh (7) hari dengan pelbagai aktiviti menarik yang memberi pengalaman bermakna kepada semua peserta.