18 Sept – Seramai enam orang pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah terpilih untuk mengikuti program mobiliti (outbound) ke Universitas Islam Negeri Sunan Ampel (UINSA) Surabaya ke program UINSA Cultural Immersion 2024 pada 25 hingga 30 Ogos 2024.

Menurut salah seorang wakil pelajar, Syahrul Adam Salleh Ibrahim berkata, program ini memberi peluang kepada beliau dan rakan-rakan untuk mengenali budaya dan pembelajaran di UINSA melalui pelbagai aktiviti yang telah disusun sepanjang program antaranya Pengalaman di Brenjonk Village: Memahami Kelestarian dan Keusahawanan Komuniti, Pengkajian Sistem Lunar, Kalendar Islam, dan Penentuan Kiblat, Pelestarian Alam Sekitar: Pengalaman di Mangrove Wonorejo dan Menghayati Islam dan Budaya Jawa: Sesi Pembentangan Antarabangsa.

“Antara aktiviti yang paling menarik dan penuh keunikan ialah pengkajian sistem lunar, kalendar Islam, dan penentuan kiblat. Ini kerana selaku pelajar di Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), kami juga turut diberi penerangan untuk memahami dengan lebih mendalam bagaimana kalendar Islam dibentuk dan bagaimana penentuan arah kiblat dilakukan berdasarkan pemerhatian astronomi. Di samping USIM juga mempunyai Falak Learning Space yang mana pelajar boleh membuat perbandingan untuk tujuan pembelajaran dan pengajaran,” kata Muhammad Dhiaulhaq Fudhail bin Norsyahidzan.

Beliau menambah bahawa mereka diberi peluang untuk memperkayakan pengetahuan mereka tentang astronomi dalam konteks Islam tetapi juga memberi peluang untuk berdialog dengan peserta lain mengenai peranan sains dalam memahami dan mengamalkan ajaran Islam.

Enam pelajar yang mengikuti program ini adalah Syahrul Adam Salleh Ibrahim, Muhammad Dhiaulhaq Fudhail bin Norsyahidzan, Wan Nurhafizah Wan Mustafa, Nur Syahirah Ramli, Norshafiqah Muhammad dan Mahirah Liyana Alias yang juga merupakan ahli kepada USIM Global Buddies iaitu sebuah persatuan pelajar di bawah USIM ‘Alamiyyah. Penglibatan pelajar ini memberi peluang kepada mereka untuk menterjemahkan dan mengaplikasikan segala pengalaman untuk program-program yang akan datang di USIM.

Penglibatan pelajar ke program ini juga telah mendapat bantuan kewangan dari Pusat Wakaf dan Zakat serta Tabung Pengantarabangsaan USIM dengan bertujuan untuk meningkatkan lagi program mobiliti (outbound) ke luar negara.