25 Julai – Mahasiswa USIM yang terdiri daripada USIM Global Buddies serta mahasiswa UIN SGD Bandung telah bersepakat menganjurkan program khidmat masyarakat bersama komuniti di Nilai, Negeri Sembilan sewaktu mereka menjalani program International Mobility@USIM yang bermula pada 17 Julai hingga 22 Julai 2024.

Program Khidmat Masyarakat ini dijalankan di dua tempat iaitu Maahad Tahfiz Al Quran An Najihah dan juga Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin dengan mengadakan aktiviti seperti mengecat pagar, gotong royong memasak, membersihkan kawasan persekitaran serta sharing session bersama mahasiswa.

“Alhamdulillah kami dan anak-anak sangat berasa gembira kerana dapat berjumpa dengan mahasiswa dari luar negara yang sudi datang berkunjung dan menjalankan aktiviti di sini membantu kami untuk membersihkan kawasan persekitran,” Ustaz Mohd Zawawi Hj Aman, Pengerusi Maahad Tahfiz.

Penglibatan mahasiswa luar negara dan juga komuniti merupakan satu kerjasama antarabangsa yang boleh memberi impak kepada komuniti dan menjadi platform untuk menyumbang khidmat bakti.

“Ini menjadi pengalaman kepada kami untuk menghiburkan adik-adik yang baru kami kenali dengan mengadakan aktiviti bersama mereka. Semoga sumbangan kami dan kenangan ini menjadi ingatan kepada kami semua sampai bila-bila, ” Syahrul Adam, Presiden USIM Global Buddies.

Selain itu, program khidmat masyarakat ini juga menjadi simbolik kepada USIM yang berada di Nilai untuk lebih dekat kepada masyarakat dan menunjukkan nilai ihsan kepada komuniti sekitar.

Apa yang lebih bermakna adalah program ini juga turut mendapat sumbangan penjanaan dari Pusat Islam USIM yang menyumbang buku dan bahan bacaan lain, Surau Safni Nilai Impian yang menyumbang makanan seperti beras, bawang, kentang, minyak dan lain-lain serta mendapat sumbangan dari juga Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang menyumbang beg dan pen.

Bagi USIM ‘Alamiyyah, program khidmat masyarakat ini dapat meluaskan lagi jaringan USIM ‘Alamiyyah kepada komuniti setempat dan menjadi platform untuk institusi luar negara untuk berkenalan dan meningkatkan jaringan di pihak mereka. Semoga kerjasama ini akan berterusan dan memberi impak kepada peserta yang mengikuti program ini.

Program Mobiliti ini merupakan program yang pertama dijalankan setelah USIM menandatangani MoU bersama UIN SGD Bandung pada 25 Januari 2024 yang lalu.