13 Ogos – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bakal menghimpunkan seramai 110 pelajar peringkat sekolah menengah tinggi dari Indonesia dan Thailand melalui program Islamic Global School Network (IGSN) yang dijadualkan akan berlangsung pada 18 Ogos hingga 24 Ogos 2024 ini.

 

Simbolik kepada penganjuran IGSN yang ke 10 pada tahun ini, USIM mensasarkan untuk mewujudkan sebuah konsortium yang akan memberi platform kepada sekolah-sekolah antarabangsa untuk mendapat maklumat mengenai program akademik dan bukan akademik yang dianjurkan oleh USIM dan sekaligus dapat meningkatkan keterlihatan USIM di peringkat global.

 

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM, Prof Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh berkata, konsortium yang dinamakan United Global School Network (UGSN) itu boleh menjadi platform promosi kepada USIM untuk mendapatkan calon pelajar antarabangsa yang berpotensi dan cemerlang untuk kemasukan di peringkat prasiswazah.

 

“Konsortium ini seperti sekolah angkat kepada USIM di mana USIM akan sentiasa menjalin hubungan kerjasama dan akan menjemput sekolah yang berdaftar untuk menyertai program-program yang akan dianjurkan oleh USIM agar dapat mengenali USIM dengan lebih dalam,” katanya lagi.

 

Bersempena dengan penganjuran IGSN ini juga, USIM akan menandatangani surat hasrat bersama sekolah-sekolah yang hadir sebagai tanda permulaan kerjasama dan sinergi yang proaktif di antara USIM dan sekolah antarabangsa.

 

IGSN merupakan program mobiliti inbound dan menjadi program flagship di USIM ‘Alamiyyah (International Centre) dengan kerjasama USIM Global Buddies yang menyediakan pengisian program berbentuk akademik dan pelancongan (tourism) melalui lawatan dan pengenalan budaya dan sejarah di Malaysia kepada peserta yang mendaftar.